Oleh Azman Ismail
Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran
secara rasmi telah memansuhkan pelaksanaan dasar Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di
sekolah pada 8 Julai 2009 dan menggantikannya dengan MBMMBI. Keputusan
tersebut dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk memastikan seluruh
pelajar rendah dan menengah di negara ini mampu menguasai kedua-dua
bahasa tersebut pada tahap yang terbaik.
Pelaksanaan dasar baharu tersebut dibuat
setelah kerajaan mengambil kira pelbagai pandangan masyarakat, sarjana
dan pelbagai pihak. Antara lain, kajian yang dijalankan oleh pelbagai
pihak mendapati PPSMI tidak mencapai objektif seperti yang dirancang.
Hal ini dikatakan demikian kerana sebahagian besar pelajar, terutamanya
dari kawasan pedalaman, sukar memahami mata pelajaran Matematik dan
Sains dalam bahasa Inggeris hingga menyebabkan mereka mengambil masa
yang lama untuk memahami konsep kedua-dua mata pelajaran tersebut.
Kesukaran tersebut memaksa guru mengajar
dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahami kedua-dua mata
pelajaran berkenaan. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh
sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh itu, sekiranya PPSMI
diteruskan, sebahagian besar murid di negara ini tidak akan dapat
menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus
ketinggalan.
Secara tidak langsung, PPSMI tidak
sepenuhnya di sebahagian sekolah di negara ini, apabila guru terpaksa
menggunakan dwibahasa (bahasa Melayu dan Inggeris) untuk menjelaskan
sesuatu topik bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, selain terdapat
guru yang tidak menguasai istilah dalam bahasa Inggeris bagi kedua-dua
mata pelajaran tersebut.
Berbeza daripada konsep dan dasar
MBMMBI, dasar baharu itu memberikan penekanan dalam aspek pengajaran dan
pembelajaran (P&P) dalam bahasa Melayu dan pada masa yang sama,
bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih berkesan.
Ekoran pemansuhan dasar PPSMI, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah
hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam
P&P bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Sekolah Jenis Kebangsaan
(Cina) (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)(SKJT) dibenarkan
menggunakan bahasa pengantar masing-masing.
Sejajar dengan keputusan baharu
tersebut, pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan
supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai
tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan bahasa
Inggeris atau bahasa pengantar masing-masing dalam P&P Sains dan
Matematik. Langkah ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan
diri dengan perubahan dasar berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menegaskan bahawa
keputusan kerajaan memperkenalkan MBMMBI dan memansuhkan PPSMI harus
dihormati dan diterima baik semua pihak kerana pemansuhan tersebut tidak
bererti kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya,
penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar rendah dan menengah
akan ditingkatkan dengan beberapa langkah penambahbaikan P&P bahasa
Inggeris.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.
No comments:
Post a Comment